PUTRAJAYA, Isnin 12.01.09: - Pelbagai hadiah boleh dimenangi oleh pengunjung sempena Pameran Bioteknologi yang diadakan bermula daripada 5 Januari 2009 hingga 31 Januari 2009. Mereka yang berminat bolehlah berkunjung ke Galeri Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Aras 1, Blok C5, Kompleks C, Putrajaya.
Pelbagai produk menarik dipamerkan sepanjang pameran ini. Malahan, pengunjung mungkin akan tergamam dan kagum dengan salah satu produk yang dipamerkan iaitu pinggan yang boleh dimakan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimanakah keajaiban melalui teknologi ini dihasilkan, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pameran ini.
Sementara itu, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh pihak Bioteknologi, antaranya Ceramah DNA Forensik yang akan diadakan pada 14 Januari jam 2.00 hingga 3.30 petang bertempat di Dewan Perhimpunan Aras 1, Blok C4, MOSTI. Melalui ceramah ini, para pengunjung berpeluang untuk mengetahui bagaimanakah penjenayah boleh dijejaki melalui DNA Forensik.
Kepada golongan wanita yang masih tercari-cari produk kecantikan yang menjamin kesihatan mereka, jangan lupa untuk mengikuti Ceramah Pembuatan Produk-Produk Kosmetik pada 15 Januari, jam 10.00 pagi dan Ceramah Pembungkusan Produk-Produk Kosmetik pada jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Dewan Perhimpunan Aras 1, Blok C4, MOSTI. Produk-produk yang dipamerkan ini mempunyai kualiti yang tinggi dan selamat digunakan serta telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagi golongan wanita yang mementingkan kecantikan, peluang untuk mendapatkan tunjuk ajar berkaitan penjagaan kesihatan wajah akan diadakan pada 19 Januari ini. Pengunjung juga boleh mendapatkan produk kecantikan berasaskan herba dengan harga promosi yang cukup istimewa.
Kepada anda yang tidak berkesempatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan, anda berpeluang untuk menjalani pemeriksaan tersebut pada 20 Januari 2009 jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang di ruang menunggu Aras 1, Blok C5.
Manakala pada 20 hingga 22 Januari 2009, ruang untuk soal jawab mengenai Industri Herba dan Produk Semulajadi akan dibuka pada jam 10.30 pagi hingga jam 5.00 petang.
Mereka yang beminat untuk mengusahakan tanaman gaharu yang memberi pulangan yang lumayan, jangan ketinggalan untuk mengikuti Ceramah Penyelidikan Gaharu jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Dewan Perhimpunan MOSTI Blok C4.
Hari terakhir iaitu pada 30 Januari 2009, pengunjung berpeluang untuk membuat Health Screening pada jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang di ruang menunggu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Pameran Bioteknologi MOSTI 2009.
Sumber:
www.mosti.gov.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment