Bernama, Julai 28, 2008
USM Tandatangani Perjanjian Perkongsian Dengan BiotechCorp
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani satu perjanjian perkongsian baru-baru ini dengan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) ke arah penyelidikan dan pembangunan nanoteknologi tinggi. Mengikut perjanjian itu, seramai tiga penyelidik USM akan menjalani latihan selama 12 bulan di Peranchis untuk menggiatkan lagi R&D untuk industri bioteknologi Malaysia, demikian menurut BiotechCorp dalam satu kenyataan."USM telah dipilih sebagai rakan kongsi kami di dalam inisiatif ini sejajar dengan rekod prestasinya yang mantap dalam kerja penyelidikan secara bersama," kata Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood."Kami gembira dapat memberikan komitmen kepada perjanjian ini memandangkan program pemindahan teknologi akan merangkumi maklumat teknikal, pengetahuan, teknik pengeluaran, data kejuruteraan, spesifikasi bahan dan maklumat proprietari utama secara komersil yang lain kepunyaan Nanobiotix S.A(NBTX) dari Peranchis," kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.Pada 2007, BiotechCorp menandatangani perjanjian pemindahan teknologi dan pelesenan dengan NBTX, di mana mereka menguasai lesen eksklusif di seluruh dunia bagi platform nanoteknologi."Kerjasama dalam hal sebegini tidak dijalankan atas asas jangka pendek. Menyedari hakikat ini, USM akan memastikan dalam tempoh tidak lebih daripada 12 bulan selepas para penyelidik pulang, satu program yang sama akan dikendalikan bagi membolehkan penyelidik lain menguasai kemahiran dan pengetahuan yang dipindahkan lebih awal," kata Dzulkifli.Hasil latihan adalah bagi USM membangunkan dua aplikasi produk yang mempunyai nilai komersil yang tinggi minimum setahun bagi tempoh empat tahun menjadikan jumlahnya lapan aplikasi produk yang bernilai komersil tinggi dalam empat tahun.Sebagai pulangannya, kesemua hak harta intelek terhadap penambahbaikan, peningkatan dan inovasi yang dibangunkan sendiri oleh USM seharusnya akan menjadi hak milik USM.Pada Bio San Diego 2008 yang diadakan awal bulan ini, rakan kongsi antarabangsa BiotechCorp menekankan tentang beberapa tindakan utama yang penting yang perlu diambil bagi menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab bioteknologi global.Satu daripada tindakan utama yang dicadangkan ialah keperluan yang mendesak untuk mewujudkan satu program inovatif untuk mengembangkan dan memperoleh semula dengan cepat bakat dari Malaysia dalam sains hayat dan bioteknologi dan untuk meningkatkan inisiatif sektor pendidikan dan swasta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment